Friday, 1 May 2009

Khutbah Jumaat 130 - 24 April 2009

KHUTBAH JUMAAT 130 – 24 APRIL 2009

3 CABARAN

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Saya berpesan kepada diri, dan berpesan kepada semua hadirin sidang Jumaat, untuk bertaqwa kepada Allah. Kita perlu memastikan pengisian hidup ini bermatlamatkan Allah, berinspirasikan Rasulullah, mengutamakan perintah dan suruhanNYA, menjauhi dan meninggalkan laranganNYA. Kepatuhan kita pada Allah dan Rasul merupakan implementasi keimanan dan sekaligus mengiktiraf imej Islam yang kita bawa sepanjang masa.

Muslimin yang dikasihi

Kehidupan ini adalah cabaran, malah keseluruhan pakejnya mengisyaratkan ujian, kesusahan, cabaran dan pengorbanan. Di antara gaya bahasa mesej al Quran disampaikan adalah menerusi cabaran. Kita perhatikan banyak ayat al Quran yang menunjukkan cabaran-cabaran yang Allah lontarkan kepada mereka yang tidak menerima mesej Islam, dan mereka pula lemah untuk menyahut cabaran Ilahi. Tujuan maklumat disampaikan secara cabaran dalam al Quran ialah pertamanya untuk menunjukkan kehebatan Allah dan mewujudkan kesedaran kepada manusia bahawa Allah berkuasa atas segala sesuatu. Keduanya, bagi memetrikan hujjah dan dalam masa yang sebagai penghinaan dan kecaman kepada musuh Allah. Selaku pembaca al Quran, maka kita mengambil iktibar, bahawa cabaran sebegini memberi impak dalam banyak perkara. Pertamanya, agar musuh Islam dapat menghentikan tindakan mengecam dan menyerang umat Islam dalam apa jua bentuk. Keduanya, agar setiap pelaku kerosakan di muka bumi ini tidak lupa diri dan lalai dengan fakta bahawa segala amalan akan diganjar atau dibalas. Ketiga, ianya berfungsi sebagai amaran keras pada mereka yang menipu diri sendiri, iaitu mereka yang akur statusnya sebagai hamba Allah, tetapi terus menerus merelakan diri dalam kemungkaran dan kedurhakaan kepada Allah. Keempat, uslub cabaran dalam al Quran memberi ruang dan peluang kepada manusia untuk memikir dan mencongak, menilai dan mempertimbang, serta berubah demi kebaikan dan manfaat diri, menerusi segala yang telah mereka lalui dan lakukan dalam kehidupan.

Sidang Jumaat yang berbahagia

Di antara contoh mesej sebegini dinyatakan dalam al Quran ialah, tatkala Allah menurunkan gugusan cabaran yang tidak mampu disahut oleh para msuyrikin, penyembah berhala dan ahli kitab, yang mendakwa bahawa al Quran bukanlah diturunkan oleh Allah, tetapi mereka menyatakan bahawa ianya hanyalah kata-kata Muhammad. Allah berbicara dalam konfrontasi keangkuhan dan kebodoh sombongan mereka dengan perbicaraan cabaran pertama, dalam surah al Isra’ ayat 88, ‘Katakanlah (Wahai Muhammad); Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan yang setanding dengan al Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka Bantu membantu sesama sendiri’. Apabila mereka jelas tampak lemah dan kalah dengan cabaran pertama ini, Allah gandakan pula cabaran yang secara teknikalnya, bersifat lebih rendah berbanding cabaran pertama, sebagai tanda penghinaan kepada mereka, menerusi surah Hud ayat 13 dan 14, ‘ Bukan itu sahaja kata-kata mereka, bahkan mereka menuduh dengan mengatakan; Dia (Muhammad) yang mereka-reka al Quran itu. Katakanlah (Wahai Muhammad); (Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan kamu yang sebanding dengan al Quran itu, dan panggillah serta libatkanlah sesiapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar’. Cabaran pertama ialah mendatangkan seperti al Quran, apabila tidak mampu, maka dikecilkan kepada sepuluh surah sahaja, dan dicabar untuk melibatkan seramai manapun ahli yang mereka ada, untuk menciptanya.Jika difikirkan logic, sudah tentu mendatangkan satu al Quran lebih memerlukan bantuan dan tenaga yang ramai, tetapi Allah nyatakan ia ketika cabaran kedua ini, iaitu untuk mendatangkan sepuluh surah sahaja. Sesungguhnya, ini menunjukkan kehebatan Allah dan memaparkan kejelasan kelemahan musyrikin dan ahli kitab yang memusuhi Rasulullah. Ternyata selepas itu, seperti yang dijangka, mereka lemah dan tidak mampu menyahut cabaran kedua yang lebih kecil skopnya berbanding pertama. Allah kemudiannya menghantar cabaran ketiga, sebagai melengkapi kehinaan dan kelemahan musuh Islam, yang hanya mampu menuduh, tetapi tidak mampu membuktikan hujjah, menerusi surah al baqarah ayat 23 dan 24, ‘Dan jika kamu ada mempunyai keraguan tentang apa yang Kami (Allah) turunkan (al Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu, selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar’. Daripada cabaran mendatangkan satu al Quran, kepada sepuluh surah, dan kini kepada hanya satu surah, cabaran ini kekal hingga ke hari qiamat dan pasti tidak mampu dibawa dan ditandingi oleh mereka yang menolak ajaran Islam.

Sidang muslimin yang dikasihi

Kesemua ini membawa kita untuk menyedari dua perkara utama. Pertamanya ialah, sesungguhnya Allah telah mencipta manusia, yang tidak mempunyai apa-apa, lalu Allah mampu dan berhak untuk mengembalikan manusia yang diciptaNYA itu kepadaNYA kembali. Bukankah penciptaan itu hebat, dan bukankah pusingan kehidupan ini juga hebat. Kerana itu Allah mengulang-ulangkan cabaran sebegini, agar golongan yang masih ingin hidup bebas tanpa ikatan Ilahi, yang masih ingin mengisi kehidupan semata-mata mengikut nafsu dan naluri, yang masih berani mengenepikan perintah Ilahi dan berbangga dengan laranganNYA, berfikir secara rasional, di bawah naungan hidayah dan rasa kehambaan, bahawa kesenangan dan keseronokan hidup di hadapan mata ini, adalah cabaran. Melaksanakan ibadah dan kewajipan adalah cabaran, maka jangan ditinggalkan dan dipersia-siakan. Jika tidak dipatuhi, dan hawa nafsu diikuti, cabaran Allah selepas itu akan jadi lebih berat, terperinci dan tidak mampu disanggah oleh manusia. Islamitu mudah, maka jangan dipermudah-mudahkan. Ibadah itu ringan dan senang, maka jangan diberatkan dan diperpayahkan. Larangan Allah itu jelas dan mudah difahami, maka jangan disengajakan salah faham dan diletak ke tepi. Hidup ini sifatnya dua kali, di dunia yang sementara, dan di akhirat yang kekal abadi. Mati itu hanya sekali, pastikan ianya dilalui dan dihadapi, dengan keimanan, perancangan dan persiapan diri. Semoga kita dikurniakan Allah kemudahan beribadah, ketenangan berakhlak Islamiah, keindahan bermuamalah dan kemanisan mempertahankan aqidah. Inilah cabaran positif Allah, maka inilah tugasan dan mujahadah.

Barakallahu li walakum

Mohd Erfino Johari

erfino@masduke.net

0 comments: