Friday, 1 May 2009

Khutbah Jumaat 131 - 01 May 2009

KHUTBAH JUMAAT 131 – 01 MAY 2009

KEBERSAMAAN DALAM PENGORBANAN

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Saya berpesan kepada diri saya sendiri, dan berpesan kepada seluruh saudaraku hadirin Jumaat, dengan pesanan untuk bertaqwa kepada Allah. Yakinilah bahawa Allah sentiasa Melihat dan Mendengar setiap tutur bicara, bual kata, tingkah laku dan keputusan yang diambil dalam kehidupan kita. Kesedaran tentang kewujudan Allah dan keberadaanNYA dalam setiap aktiviti kita, merupakan kayu ukur menjamin kesejahteraan amalan, pemikiran yang positif, jiwa dan hati yang fokus serta semangat dan keazaman untuk mentaqarrubkan diri padaNYA.

Muslimin yang berbahagia

Firman Allah dalam surah al Anfal ayat 36, ‘ Sesungguhnya orang- orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya. Kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam beraka jahannam’. Ayat ini turun berkaitan kisah tiga orang lelaki musyrikin, iaitu Abdullah bin Abi Rabi’ah, Ikrimah bin Abi Jahl dan Safwan bin Abi Umayyah, serta beberapa lagi lelaki musyrikin yang datang berjumpa dengan Abu Sufyan, para pembesar dan saudagar utama quraisy. Mereka hadir dengan satu misi iaitu untuk menyatakan kemarahan dan kekesalan atas ketewasan tentera Quraisy kepada Islam dalam peperangan Badar al Kubra. Mereka menyatakan azam dan perancangan untuk membuat pukulan balas kepada muslimin. Lalu mereka melobi dan berjumpa dengan pembesar dan saudagar utama Quraisy, menaikkan semangat dan sensitiviti mereka untuk memusuhi dan membalas dendam kepada Rasulullah dan muslimin di Madinah. Strategi yang mereka guna pakai ialah dengan meminta bantuan kewangan untuk memperkuat dan memperkemaskan kelengkapan peperangan, membiayai usaha perisikan dan penyiasatan atas kekuatan Madinah, dan untuk menggunakan dana sumbangan berkenaan bagi kebaikan masyarakat Quraisy Makkah. Mereka berhasrat untuk menggunakan segala bajet dan kemewahan bantuan yang ada, untuk menghalang umat Islam daripada melakukan ibadat, menghalang mana-mana individu yang berhasrat untuk memeluk Islam, serta membalas dendam kepada Islam. Jentera perancangan ini mendapat bantuan penuh dari pelbagai sumber, namun seperti yang ditegaskan Allah dalam ayat di atas, mereka tetap tidak mampu mengalahkan umat Islam, tetap lemah dan kalah dalam misi memerangi Islam, serta akhirnya mendapat kesedaran akan kebesaran dan kebenaran Islam. Biarpun agak lewat, Ikrimah, putera kepada Abu Jahal ini akhirnya menerima dan memeluk Islam.

My fellow muslimin

It is essential in human life and the development of the world to have wealth. With distinguish view, thorough acquire and properly use in the right ways, it can bring great benefit to the community. We’ve been witnessing throughout history, where there’s so many occasions took place, when the non believers pulled out their wealth’s strength, and unite against Islam. For them, it is a worship, a significant act and pure intention to help their religion, especially when dealing with Islam and the future. How sad it is nowadays, on the other side of the table, the wealth cherished in so many muslim countries, became a powerful destructive element, due to the negligence of Islamic principles concerning the acquisition and utilisation of wealth. While wealth is a gift from Allah, the zakat is a community due. When the wealth earned by any human being, it becomes a trust from Allah. Wealth is intended to be earned, by the use of one’s efforts. Even poor people must do their utmost to earn some sort of living by their own effort. At the same time, for those who are blessed with wealth, do believe that it’s part of Allah’s master plan. The concept of giving back is meant for cleansing, purity and nurturing. Distribution is so essential, as we urged the delivery system of it to be in high level of efficiency.

Sidang Jumaat yang dikasihi

Islam sentiasa tidak sunyi daripada tekanan dan cabaran. Umat Islam sentiasa tidak sunyi daripada provokasi dan oppresi. Dalam masa yang sama, kita sedia maklum betapa dunia bukan Islam seakan bersatu, matlamat, hasrat, keinginan, harapan dan tindakan, menentang dan mebelakangi Islam. Pengganas zionis umpamanya, tidak mampu untuk memperlengkapkan persiapan, melaksanakan tindakan keganasan dan pembunuhan, tanpa adanya sumbangan dan dokongan kewangan kepada mereka. Kita diwar-warkan dengan pelbagai jenama, syarikat, institusi dan gergasi perniagaan utama di seluruh dunia, malah individu terkemuka dan selebriti antarabangsa, yang menyalurkan bantuan kewangan dan mengumpulkannya bagi membina kekuatan. Umat islam selaku pengguna, seakan tidak mempunyai jalan keluar bagi mengatasi masalah ini. Ini semua merupakan strategi yang pernah dilaksanakan ketika Islam muncul di persada bumi hijaz. Umum mengetahui bahawa kewangan merupakan asset untuk memiliki segala-galanya. Kekayaan dan kelebihan ini digunapakai bagi mengheret umat Islam dan negara Islam, baik yang kaya mahupun yang melarat dan menderita, untuk memberikan tekanan kehidupan dan masa depan beragama. Di mana silapnya? Adakah kerana kejahilan dan kelembapan negara Islam yang kaya, dalam menyalurkan bantuan dan melakukan strategi yang sama bersama umat Islam yang lain? Atau kerana negara Islam yang menderita kemiskinan, kelaparan dan kekurangan tidak ada tempat di mata negara Islam yang berkemampuan? Sesungguhnya umat Islam itu tewas bukan kerana kekuatan musuh, tetapi kerana kelemahan umatnya sendiri. Islam itu kuat selagi bersandar atas paksi persaudaraan utuh, seperti yang diasaskan oleh Rasulullah. Apabila persaudaraan Islam dijual beli dan digadai ganti, apabila minda dan tindakan dijajah kuasa luar, maka isu yang dekat dirasakan sangat jauh dengan kita. Palestin yang boleh dilihat dengan mata kasar daripada tiga negara jiran muslim terdekatnya, Saudi Arabia, Mesir dan Jordan, dirasakan dan dianggap asing dan terpinggir. Betapa kemasnya perancangan barat dan dunia, dalam mengukuhkan sifat keakuan setiap negara Islam, dalam mempromosikan perkumpulan-perkumpulan pelbagai nama dan kaitannya dengan keganasan, bagi memporak porandakan persaudaraan Islam, dalam menanamkan sifat tidak percaya sesama sendiri di kalangan negara Islam, serta beribu usaha lagi digariskan dalam jentera mereka yang bertatahkan sumber kewangan, bantuan dan pertolongan yang tidak berhenti dan bertepi.

Muslimin rahimakumullah

Umat Islam berperanan untuk mengembalikan kehebatan, mencari dan menggali tapak dan susur kemenangan, menyubur dan mempromosi persaudaraan kerana Allah yang merentasi batasan sempadan kenegaraan, menyumbang walau sekecil manapun serta dalam apa jua bentuk dalam memperkuatkan urusan umat Islam, dalam melaksanakan aktiviti keislaman, dalam membantu dan mebela nasib saudara seislamnya, tanpa mengharapkan balasan dan laba. Mengapa umat Islam tidak mampu menzahirkan integriti institusi zakat dalam membantu umat Islam. Kita berbangga dengan jumlah kutipan zakat yang berbilliion nilainya, tetapi di mana pengagihan dan sistem penyampaiannya. Terlalu banyak bidang yang boleh disumbang, asal sahaja kekangan pemahaman sempit terhadap saluran dan asnaf zakat dapat dibongkar buang daripada pelaku dan pengamalnya. Namakan apa sahaja bidang, wang zakat boleh diurus selia dan disalurkan. Wang zakat bukan untuk dikumpul, bukan untuk di banggakan julah kutipan semata-mata, tetapi untuk diagih, diberi dan diperkukuhkan politik, ekonomi dan sosio budaya masyarakat muslim. Berapa ramai di kalangan pelajar Islam , dalam dan luar negara yang mengharapkan sumbangan, lantaran terputus sumber kewangan dalam mencari ilmu dan mengaut kepakaran, tetapi tidak dipedulikan atas nama pita merah masalah teknikal seperti kesilapan pengisian borang, bidang pengajian dan tempat pengajian yang dianggap tidak bertatahkan nama Islam, telah mempunyai pinjaman dengan bank dan institusi kewangan lain dan yang paling sedih, apabila dimaklumkan tiada peruntukan dan bantuan boleh diberikan atas alasan bukan anak negeri, hanya layak menerima tambang penerbangan pergi, tidak layak sepenuhnya serta terpaksa menanti dan terus menanti bagi tempoh yang lama. Mimbar jumaat mengusulkan, agar pada masa kini, sistem bukan sahaja sepatutnya dicari, tetapi sistem perlu mencari sasaran. Sumbangan zakat jangan hanya terhad pada permohonan atas kertas, tetapi pengamal dan pelaku harta zakat perlu keluar, turun ke padang, ke ceruk pedalaman, kampung dan terpencil, mencari dan mengenalpasti individu dan golongan yang berhak malah berkewajipan menerima pembelaan Islam menerusi zakat. Bantu mereka dalam mengisi borang dan mendefinisikan situasi keperluan yang mungkin kurang mampu difahami oleh mereka dalam ayat bahasa formal dan persuratan. Ini yang pernah dilaksana oleh Umar, menjunjung kampit gandum pada waktu malam, atau istilahnya di luar waktu pejabat, kepada yang berhak dan sangat terdesak serta berkeperluan mendapatkan bantuan. Seandainya ini dilakukan, di Malaysia contohnya, nasib umat islam akan terbela. Sekiranya yang berhak menerima bantuan adalah sedikit, berbanding jumlah dana zakat yang berbukit, maka tinggikan kadar batuan yang boleh diterima oleh seseorang yang layak, serta luaskan skop penerimaan dan golongan yang berhak menerimanya, atas keperluan tuntutan semasa dan taraf hidup masa kini. Andai kata benar di Malaysia umpamanya telah sempurna segala hak ditunaikan bagi mereka yang layak, maka bantuan zakat boleh disalurkan kepada muslimin di selatan Thailand atau mungkin hingga ke United Kingdom ini, atau di mana-mana sahaja, merentasi batasan negara, zakat adalah zakat. Negara Islam wajib memelihara sistem ini dan sistem ini tiada halangan atau sekatan andai adanya bantuan bersifat intra negara dan budaya, berlainan bahasa dan bangsa, kerana faktor utamanya ialah, kita adalah muslim yang sama. Samalah seperti jutaan kambing, biri-biri, lembu dan unta yang disembelih ketika musim ibadah haji, atas dasar korban atau pembayaran dam, dapat diagihkan kepada negara dan umat Islam yang memerlukan makanan, kita berkeyakinan ianya mampu menampung keperluan hingga bertahun tempoh bagi mereka, hingga menantikan musim haji tahun berikutnya. Jika tidak, maka korban dan dam akan dibazirkan, atau diberikan kepada mereka yang telah sedia mampu dan mewah, lalu tidak mencapai hasrat dan aspirasi ibadah itu sendiri. Orang yang tidak beriman bantu membantu sesama mereka, maka amat malang jika umat Islam masih lagi berbirokrasi dalam tolong menolong sesama sendiri. Semoga umat islam bersatu dalam bantu membantu, untuk meninggikan imej bangsa dan umat, serta memperlihatkan imej sebenar Islam.

Barakallahu li walakum

Mohd Erfino Johari

erfino@masduke.net

Quick stop at MOHE



29 April 2009 - Along with Radhi and Zuhir, we drove to Putrajaya to meet Datuk Dr. Zulkefli, MOHE Chief Secretary, and few other officers. It's good to be back at the office and meet Haji Ibrahim, Puan Rohani and even Mr. Anand, and all staffs. Since Prof Fauzi was not around, I just dropped my hello through phone. The three of us spent slightly more than one and and a half hours with Datuk Dr. Zul at his office. Thanks to him for the great discussion, as well as sharing his experience working at MOHE. Thanks and till we meet again.

MOHE PTK Course




25-29 April 2009 - I received a confirmation letter of acceptance to attend the course, two weeks earlier. After getting the approval from the management, I flew back to Malaysia and arrived on the 23rd. Just nice to have a day before the course to get rid of jet lag I guess. The course held at Grand Blue Wave Hotel, Shah Alam. Apart from meeting back my colleagues, Ustaz Radhi who is attached at MSD Jeddah, and Ustaz Zuhir, MSD Sydney, I've got the chance to meet and greet new faces. Most of them are lecturersand administrators of Community Colleges and Polytechnics all over Malaysia. The course went well, quite tight but as far as the knowledge, professionalism and team work are concern, it was worth it attending and to be part of it. All the best to all of us.

Khutbah Jumaat 130 - 24 April 2009

KHUTBAH JUMAAT 130 – 24 APRIL 2009

3 CABARAN

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Saya berpesan kepada diri, dan berpesan kepada semua hadirin sidang Jumaat, untuk bertaqwa kepada Allah. Kita perlu memastikan pengisian hidup ini bermatlamatkan Allah, berinspirasikan Rasulullah, mengutamakan perintah dan suruhanNYA, menjauhi dan meninggalkan laranganNYA. Kepatuhan kita pada Allah dan Rasul merupakan implementasi keimanan dan sekaligus mengiktiraf imej Islam yang kita bawa sepanjang masa.

Muslimin yang dikasihi

Kehidupan ini adalah cabaran, malah keseluruhan pakejnya mengisyaratkan ujian, kesusahan, cabaran dan pengorbanan. Di antara gaya bahasa mesej al Quran disampaikan adalah menerusi cabaran. Kita perhatikan banyak ayat al Quran yang menunjukkan cabaran-cabaran yang Allah lontarkan kepada mereka yang tidak menerima mesej Islam, dan mereka pula lemah untuk menyahut cabaran Ilahi. Tujuan maklumat disampaikan secara cabaran dalam al Quran ialah pertamanya untuk menunjukkan kehebatan Allah dan mewujudkan kesedaran kepada manusia bahawa Allah berkuasa atas segala sesuatu. Keduanya, bagi memetrikan hujjah dan dalam masa yang sebagai penghinaan dan kecaman kepada musuh Allah. Selaku pembaca al Quran, maka kita mengambil iktibar, bahawa cabaran sebegini memberi impak dalam banyak perkara. Pertamanya, agar musuh Islam dapat menghentikan tindakan mengecam dan menyerang umat Islam dalam apa jua bentuk. Keduanya, agar setiap pelaku kerosakan di muka bumi ini tidak lupa diri dan lalai dengan fakta bahawa segala amalan akan diganjar atau dibalas. Ketiga, ianya berfungsi sebagai amaran keras pada mereka yang menipu diri sendiri, iaitu mereka yang akur statusnya sebagai hamba Allah, tetapi terus menerus merelakan diri dalam kemungkaran dan kedurhakaan kepada Allah. Keempat, uslub cabaran dalam al Quran memberi ruang dan peluang kepada manusia untuk memikir dan mencongak, menilai dan mempertimbang, serta berubah demi kebaikan dan manfaat diri, menerusi segala yang telah mereka lalui dan lakukan dalam kehidupan.

Sidang Jumaat yang berbahagia

Di antara contoh mesej sebegini dinyatakan dalam al Quran ialah, tatkala Allah menurunkan gugusan cabaran yang tidak mampu disahut oleh para msuyrikin, penyembah berhala dan ahli kitab, yang mendakwa bahawa al Quran bukanlah diturunkan oleh Allah, tetapi mereka menyatakan bahawa ianya hanyalah kata-kata Muhammad. Allah berbicara dalam konfrontasi keangkuhan dan kebodoh sombongan mereka dengan perbicaraan cabaran pertama, dalam surah al Isra’ ayat 88, ‘Katakanlah (Wahai Muhammad); Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan yang setanding dengan al Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka Bantu membantu sesama sendiri’. Apabila mereka jelas tampak lemah dan kalah dengan cabaran pertama ini, Allah gandakan pula cabaran yang secara teknikalnya, bersifat lebih rendah berbanding cabaran pertama, sebagai tanda penghinaan kepada mereka, menerusi surah Hud ayat 13 dan 14, ‘ Bukan itu sahaja kata-kata mereka, bahkan mereka menuduh dengan mengatakan; Dia (Muhammad) yang mereka-reka al Quran itu. Katakanlah (Wahai Muhammad); (Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan kamu yang sebanding dengan al Quran itu, dan panggillah serta libatkanlah sesiapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar’. Cabaran pertama ialah mendatangkan seperti al Quran, apabila tidak mampu, maka dikecilkan kepada sepuluh surah sahaja, dan dicabar untuk melibatkan seramai manapun ahli yang mereka ada, untuk menciptanya.Jika difikirkan logic, sudah tentu mendatangkan satu al Quran lebih memerlukan bantuan dan tenaga yang ramai, tetapi Allah nyatakan ia ketika cabaran kedua ini, iaitu untuk mendatangkan sepuluh surah sahaja. Sesungguhnya, ini menunjukkan kehebatan Allah dan memaparkan kejelasan kelemahan musyrikin dan ahli kitab yang memusuhi Rasulullah. Ternyata selepas itu, seperti yang dijangka, mereka lemah dan tidak mampu menyahut cabaran kedua yang lebih kecil skopnya berbanding pertama. Allah kemudiannya menghantar cabaran ketiga, sebagai melengkapi kehinaan dan kelemahan musuh Islam, yang hanya mampu menuduh, tetapi tidak mampu membuktikan hujjah, menerusi surah al baqarah ayat 23 dan 24, ‘Dan jika kamu ada mempunyai keraguan tentang apa yang Kami (Allah) turunkan (al Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu, selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar’. Daripada cabaran mendatangkan satu al Quran, kepada sepuluh surah, dan kini kepada hanya satu surah, cabaran ini kekal hingga ke hari qiamat dan pasti tidak mampu dibawa dan ditandingi oleh mereka yang menolak ajaran Islam.

Sidang muslimin yang dikasihi

Kesemua ini membawa kita untuk menyedari dua perkara utama. Pertamanya ialah, sesungguhnya Allah telah mencipta manusia, yang tidak mempunyai apa-apa, lalu Allah mampu dan berhak untuk mengembalikan manusia yang diciptaNYA itu kepadaNYA kembali. Bukankah penciptaan itu hebat, dan bukankah pusingan kehidupan ini juga hebat. Kerana itu Allah mengulang-ulangkan cabaran sebegini, agar golongan yang masih ingin hidup bebas tanpa ikatan Ilahi, yang masih ingin mengisi kehidupan semata-mata mengikut nafsu dan naluri, yang masih berani mengenepikan perintah Ilahi dan berbangga dengan laranganNYA, berfikir secara rasional, di bawah naungan hidayah dan rasa kehambaan, bahawa kesenangan dan keseronokan hidup di hadapan mata ini, adalah cabaran. Melaksanakan ibadah dan kewajipan adalah cabaran, maka jangan ditinggalkan dan dipersia-siakan. Jika tidak dipatuhi, dan hawa nafsu diikuti, cabaran Allah selepas itu akan jadi lebih berat, terperinci dan tidak mampu disanggah oleh manusia. Islamitu mudah, maka jangan dipermudah-mudahkan. Ibadah itu ringan dan senang, maka jangan diberatkan dan diperpayahkan. Larangan Allah itu jelas dan mudah difahami, maka jangan disengajakan salah faham dan diletak ke tepi. Hidup ini sifatnya dua kali, di dunia yang sementara, dan di akhirat yang kekal abadi. Mati itu hanya sekali, pastikan ianya dilalui dan dihadapi, dengan keimanan, perancangan dan persiapan diri. Semoga kita dikurniakan Allah kemudahan beribadah, ketenangan berakhlak Islamiah, keindahan bermuamalah dan kemanisan mempertahankan aqidah. Inilah cabaran positif Allah, maka inilah tugasan dan mujahadah.

Barakallahu li walakum

Mohd Erfino Johari

erfino@masduke.net