Tuesday, 29 November 2011

Morning in Putrajaya - Ilmu dan kuasa

Ilmu yang berkapasiti tinggi mampu menggerakkan mahasiswa dan apa jua pergerakan. Pergerakan tanpa ilmu tidak berkuasa menggerakkan apa jua pergerakan. Ilmu itu punca kuasa mahasiswa.

Ilmu itu sifatnya dinamik, kuasanya diversif dan kesannya melangkaui imaginatif. Ilmu juga yang mampu dan ampuh menahan provokatif, mengelak daripada sifat subjektif, selektif yang tidak berhaluan dan beremosi, pandangan yang iritatif serta tindakan yang singkat atau cetek objektif. Ilmu itu jika dipasak didada setiap mahasiswa, akan berupaya menjadikan setiap penghuni menara gading untuk bersifat terbuka yang berpaksi, memiliki sifat menerima yang berprinsip, sifat menolak yang berhikmah, sifat menilai yang berhimmah, sifat memilih yang matang membezakan antara mujahadah dan perjuangan, antara perasaan dan kemahuan, antara keindahan pemikiran arus perdana dan keremehan pandangan alternatif. Ini yang akan menggerakkan mahasiswa, dan akan menjadikan mahasiswa menggerakkan pergerakan dan perjuangan.

Ilmu menjadikan penuntutnya berjiwa besar, yang tahu membanding beza isu besar dengan yang berciri picisan, menjadikan pendambanya tahu menyaring pilih antara kekuatan dan kelemahan, antara kelemahan dan kegagalan, antara kegagalan dan kemahuan berubah, antara kemahuan dan sekadar hamburan, antara kepentingan dan keringanan.

Sewajarnya ilmu diutamakan, malah terus dijulang sebagai hakikat keberadaan di persada dunia ilmu dan medan ilmuan. Jangan sesekali dibiarkan selain daripada ilmu untuk menerajui takhta perhatian, keinginan, pemilihan malah perjuangan. Ini kerana, ilmu itu apabila diturunkan dari takhtanya, ia akan diisi dengan emosi, yang akhirnya menyuntik provokasi yang tidak bertepi dan justifikasi yang tiada sisi. andai ilmu yang menjadi pendinding kelangsungan hidup diri dan modal pengukir kejayaan hadapan tidak berupaya menjadi penggerak, mahasiswa akan terus bergerak, namun tidak akan mengikut landasannya. Kebarangkalian tersasar, tersilap, bertembung jalan atau bertentangan hala adalah amat tinggi. Sekatan akan dianggap sebagai penyempitan, sedangkan pada jurus mantiqnya, ia sebenarnya memberi banyak keterbukaan dan pilihan yang luas. seandainya sekatan itu dibubar, dipinda malah dibuang, hanya faktor masa yang akan membuktikan kepada masyarakat bahawa, keterbukaan pilihan juga akan turut lenyap. Diktasi terhadap variasi dan menghargai perbezaan akan pudar dan menjadi retak yang menunggu belah, panas yang menanti rentung, rebah yang mengisyaratkan padah.

Berfikirlah dengan ilmu kewajaran, fahamilah isu dengan prinsip keterbukaan, laksanakanlah tindakan dengan ukiran keuntungan jangka masa panjang dan bersifat hadapan.Kuasa mahasiswa adalah pada ilmunya, dan tidak cukup sekadar itu, ilmu itu wajib dijulang di kerusi yang teratas. Di mana indikator kewibaan pusat-pusat pengajian tinggi? Andai satu-satu nama pusat pengajian tinggi disebut oleh umum, lihat reaksi balas dan respon ulas mereka. Jika nama atau simbol atau syiar pertama yang terlintas difikiran mereka atau terpacul dari lisan mereka adalah bukan ilmu dan kuasanya, maka ketahuilah, mahasiswanya telah hilang arca kepahlawanannya. Ini kerana ilmu didada, dihati dan diminda setiap mahasiswa adalah umpama keris dipinggang panglima, senapang dilengan perwira atau joran ditangan pengailnya. Tanpa ilmu, tanpa keinginan dan kesedaran mengutamakan ilmu, nilainya tiada, atau semakin tiada.

harapan ummah tinggi buat penghuni menara gading. Moga ianya dibalas dengan respon berwajar, iaitu kesedaran dan keinginan untuk menguasai pemilikan ilmu, ketuanan pengetahuan dan kekananan hikmah. Jika ditanya pada saya definisi mahasiswa, inilah jawapan saya. Inilah harapan saya. inilah mimpi dan impian saya. Memimpinlah dengan ilmu.

Allah Maha Mengetahui

0 comments: